Pulang dari tempat
kerja, Misha singgah di warung Mak Siti. Kelihatan Mak Siti sudah tersenyum
melihat kedatangannya. Hanya ada beberapa orang pelanggan Mak Siti petang itu.
“Mak Siti.. Macam mana
jualan kuih hari ini?” soal Misha sebaik saja dia tiba di warung Mak Siti.
Setiap pagi dia menghantar kuih ke warung Mak Siti. Lagipun menurut Mak Siti,
pelanggan suka sangat makan kuih yang di buat oleh Misha. Setiap malam dia buat
kuih untuk di hantar ke warung Mak Siti. Sekurang-kurangnya duit yang dia dapat
dari jualan kuih itu, dapat menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.
Dan selebihnya dia simpan di bank.
“Semua habis di jual..
Nampaknya ada rezeki hati ini.” Misha mengucapkan syukur! Mak Siti memberikan
duit harga jualan kuihnya hari ini. Misha menghitung duit yang di peroleh hari
ini. Nampaknya dia ada rezeki lebih hari ini. Nanti balik bolehlah dia membeli
sedikit lauk.
Sebaik saja dia
berpusing, tiba-tiba badannya di rempuh oleh seorang pemuda yang tidak di
kenalinya.
“Sorry.. cik.. I tak
sengaja..” Misha memandang wajah orang yang merempuhnya tadi. Rasa marahnya
membuak-buak.
“Sorry? Senang je cakap
Sorry ya.. Habis mana letak mata Encik tu? Dekat lutut ke?” marah Misha lagi.
Duit syiling yang di pengangnya jatuh dari tangannya bertaburan di atas lantai.
Dia menunduk untuk mengutip duit syilingnya itu.
“Ha.ha.. kurang 10sen..
Cepat bayar!!” ujar Misha sambil menghulurkan tangannya di depan lelaki itu.
“Sepuluh sen pun awak
nak minta ganti!!” ujar lelaki tersebut. Dia sangat terkejut mendengar
perempuan itu meminta ganti rugi yang bernilai sepuluh sen itu.
“Itu pun duit juga
namanya.. Baik encik bayar kat saya sekarang!!” ujar Misha tegas.
“Halalkan sajalah..”
lelaki itu berkata. ‘Eh dia ni, mana boleh nak halalkan sepuluh sen. Itu pun
duit tau!’ bisik Misha dalam hati.
“Encik ni faham bahasa
ke tidak.. Cepat ganti balik duit tu!!” tegas Misha lagi. Lelaki ini memang tak
makan saman. Kalau di lihat dari rupanya, lelaki itu nampak macam orang berada.
Walaupun gayanya sempoi tapi masih bergaya dengan cermin mata hitamnya.
“Iya..iya.. Saya cari
duit syiling..” ujar lelaki itu. ‘Ada pulak sepuluh sen pun tak nak halalkan..’
gumam lelaki itu sendirian.
“Cepatlah.. Saya dah
lambat ni..”
“Nah dua puluh sen.. Sepuluh
sen tak ada..” ujar lelaki itu sambil meletakkan duit bernilai dua puluh sen di
tapak tangan Misha.
“Nah saya bagi balik
bakinya..” ujar Misha menghulurkan duit sepuluh sen kepada lelaki itu. Dia terus
berlalu dari warung Mak Siti. Lelaki tadi hanya menggeleng kepalanya. Ada juga
perangai manusia yang pelik macam perempuan itu. Sayang, wajahnya cantik tapi
kedekut!!
.......................................
Misha singgah di kedai
runcit Pak Ali untuk membeli bahan untuk membuat kuihnya. Biar pun
kadang-kadnag dia rasa penat, tetapi ibunya juga selalu membantunya. Selepas
membeli bahan-bahan itu dia terus pulang ke rumahnya. Selepas mandi dan makan
malam mulalah dia membuat kuih. Kemudian awal pagi dia akan bangun untuk
menyiapkannya saja.
Iskandar pulang ke
rumahnya. Sepatutnya hari ini dia mula bekerja. Tetapi dia akan memulakan
kerjanya pada keesokan harinya. Tadi dia sempat berjalan-jalan di sekitar ibu
kota untuk merehatkan fikiran. Setelah dia bekerja keras untuk menamatkan
pelajarannya akhirnya dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang
perniagaan.
Dia duduk di halaman
rumah milik keluarganya. Dalam fikirannya dia masih terbayang-bayang wajah
perempuan yang di jumpainya petang tadi. Namun dia tersenyum sendiri bila
mengenangkan balik peristiwa yang berlaku petang tadi.
“Apa yang anak umi tersengih-sengih
macam tu? Ada apa-apa yang umi tak tahu ke?” tegur Puan Maisarah pada anak
terunanya.
“Tak ada apalah Umi..”
“Mana boleh tak ada
apa-apa, kalau duduk kat luar sambil tersenyum-senyum tu..Ceritalah pada umi..”
pujuk Puan Maisarah lagi.
“Sebenarnya, Is ada
cerita lucu hari ini..”
“Cerita pasal apa?”
“Begini, petang tadi Is
singgah di warung Makcik Siti. Tiba-tiba Is terlanggar seorang perempuan...”
“Oh itu perkara biasa
untuk sebuah perkenalan..” jawab Puan Maisarah sambil tersenyum.
“Bukan macam itu umi,
Is dah terlanggar dia dan duit syiling dalam tangan dia semua jatuh di atas
lantai. Lepas itu, dia minta Is gantikan duit sepuluh sen yang hilang. Sebab
duitnya itu kurang sepuluh sen.. kedekut betul perempuan tu!!”
“Apa masalahnya. Itukan
hak dia.. Yang anak umi pergi langgar dia buat apa?”
“Is tak sengaja umi..”
“Is ganti tak duit dia
yang hilang tu?”
“Gantilah umi. Dah dia
bising-bising kat warung tu malaulah Is.. Tapi Is bagi dua puluh sen. Sebab tak
ada sepuluh sen. Dia bagi balik sepuluh sen..”
“Itu cerita yang Is
kata lucu?” soal Puan Maisarah lagi. Iskandar mengangguk!
“Is.. dalam dunia ini
manusia punya pelbagai perangai. Mungkin Is kata dia perempuan kedekut. Manalah
kita tahu mengapa dia bersikap macam tu. Mungkin dia ada sebab lain atau memang
dia seorang yang kedekut!”
“Apa umi ni cakap
berbelit belit..”
“Is.. mungkin dia
bersikap kedekut kerana faktor hidup. Mungkin dia mahu berjimat cermat dan
menghargai setiap sen yang dia ada kerana hidup dia yang susah. Kalau dia
memang berasal dari keluarga yang berada barulah kamu boleh cakap dia kedekut.
Sebab memang sah-sah dia berduit.. faham??”
Iskandar mengangguk.
Benar juga kata uminya. Dia mengenangkan kembali bagai mana perempuan itu
memarahinya dia tersenyum sendiri.
“Tengok itu memang
senyuman angau.. bukan kerana cerita yang lucu..” usik Puan Maisarah lagi.
“Umi..” ujar Iskandar
malu sendiri.
......................................
Hari ini keadaan
pejabat agak riuh rendah. Mana tidaknya melalui pegawai atasan mereka, hari ini
ada pekerja baru masuk. Pekerja itu juga merupakan anak tunggal Encik Lokman
yang baru balik dari luar negeri.
“Hari ini kita akan
menerima seorang pekerja baru yang akan mengantikan pengurus kita Encik Lokman.
Dia akan di gantikan dengan anak beliau yang bernama Iskandar. Saya berharap
semua pekerja akan memberikan tunjuk ajar dan kerja sama yang baik dengan
beliau..” ujar Encik Anwar di depan pekerja Setia Jaya Holding. Nora menyuruh
Misha memandang wajah bos baru mereka.
“Alamak!!” ujar Misha terkejut
sendiri.
“Kau ni kenapa?” soal
Nora kehairanan.
“Kau kenal dia ke?” ujar
Nora separuh berbisik ke telinga Misha..
“Taklah.. tak kenal..”
bohong Misha lagi. Bukan mamat ni ke dengan dia bergaduh di warung Mak Siti
kelmarin. Habislah aku!! Memang hari-harilah kena bantai dengan bos baru mereka
tu..
Misha duduk termenung.
Entah mengapa dia asyik terpikirkan lelaki itu. Argg!!menyampah sungguh!!
Nampaknya memang setiap harilah dia terpaksa menghadap muka bos baru mereka.
Tapi tak apalah kalau dia marah-marah. Kalau memang perangai bos mereka suka
marah-marah dia terima saja. Sebab dia datang ke sini untuk mencari rezeki.
Terpaksalah dia menadah telinga bila berdepan dengan bos baru itu.
.....................................
Misha memandang wajah
Ismalleh. Sudah beberapa kali Malleh meminta duit kononnya mahu membeli telefon
bimbit baru. Namun permintaan adiknya itu belum lagi tertunai. Dia mahu
mengumpul duit untuk kegunaan lain bukannya untuk membeli telefon bimbit baru
untuk Malleh.
“Kak Misha ni memang
kedekut! Tangkai jering! Tahi hidung masin!!” jeritnya lagi.
“Malleh tak baik marah
Kak Misha macam itu!” bela ibu lagi. Terasa hangat pipinya ketika itu. Rupa-rupanya
air matanya mula menuruni pipi.
“Peduli bu.. Kak Misha kerja
siang malam. Dapat duit pun bukannya dia nak bagi pada ibu. Entah apa dia buat
dengan duit dia tu..”
“Tapi awak tak berhak
marah Kak Long macam tu.. Itu duit dia. Hak dia..”
“Biarlah bu.. Biar dia
marah along macam tu.. Dia tak tahu apa-apa. Lagi pun dia masih budak lagi.
Along tak peduli apa dia nak kata...” jawab Misha perlahan. Dia kesian melihat
ibunya yang selalu mempertahankan dirinya! Akhirnya Misha masuk ke bilik. Dia
mengambil beg duitnya.. Dia mengira duit yang di perolehi semalam dan hari ini.
Ada pun lebihnya. Misha keluar dari bilik lalu dia pun berikan duit yang
Ismalleh minta kepada ibunya.
........................
Nora dan Misha berada
di pantry. Mereka biasanya akan minum pagi bersama-sama. Lagipun, Misha selalu
membawa kuih untuk mereka berdua sarapan. Kadang-kadang Misha jemput juga rakan
sepejabat untuk makan kuih yang di bawanya.
“Kau ni kenapa? Dari tadi
duduk termenung?” soal Nora rakan sekerjanya.
“Tak ada apalah..”
“Kalau tak ada masalah,
Misha tak jadi macam ni?”
“Tak adalah.. Semalam
adik aku mengamuk!!”
“Pasal apa?”
“Dia minta duit. Sebab
aku tak bagi, dia terus mengamuk.. Lalu dia cakap macam-macamlah..” ngadu Misha
kepada Nora. Hanya Nora yang tahu mengapa dan kenapa dia bersikap kedekut
dengan adiknya.
“Kau pun satu sebagai
kakak tu kau kena nasihatkan dia sikit..”
“Budak-budak zaman
sekarang tau apa? Asyik nak minta duit.. Bukannya dia fikirkan perasaan kita yang
bertungkus lumus cari duit. Kalau tak bagi ha.. Macam tulah jadinya...”
“Apa pun kau janganlah
berkeras sangat dengan adik kau tu..”
“Itu aku taulah.. Sebab
itu aku tak ambik hati sangat..”
“Tak payahlah kau
fikirkan sangat masalah kau dengan adik kau tu.. Kalau susah sangat baik kau
berterus terang dengan adik kau.. Kenapa kau nak kumpul duit tu?”
Iskandar yang mahu ke
pantry itu terhenti di muka pintu. Nasib baiklah pintu itu agak terselindung
dari pandangan mereka berdua. Dia mendengar setiap butir perbualan diantara dua
pekerja itu.
........................................
Petang itu hari sudah
gelap. Mungkin mahu hujan. Tetapi bas yang di tunggu oleh Misha tidak juga
datang.. Kalau tak ada bas terpaksalah dia naik teksi. Dan tambangnya mestilah
mahal dari tambang bas. Dia duduk mengeluh sendirian. Menyesal pula dia tidak
naik kereta dengan Nora tadi. Bukan Nora tak pelawa. Tapi dia seganlah
hari-hari nak menumpang kenderaan orang.
Akhirnya dia di
kejutkan dengan bunyi hon yang kuat. Kelihatan sebuah kereta BMW warna biru
metallic berhenti di perhentian bas itu. Misha tidak peduli. Mungkin pemandu
itu mahu menjemput gadis yang duduk di sebelahnya.
Melihat Misha tidak
pedulikan hon keretanya, Iskandar keluar dari keretanya lalu berjalan menuju ke
arah Misha.
Dia memberi salam.
Misha menoleh. Seperti dia kenal dengan suara itu. Betullah Encik Iskandar!!
Dia benar-benar terkejut!!
“Encik buat apa kat
sini?” soal Misha sebaik sahaja dia melihat Iskandar tersenyum padanya.
“Saya nak tumpangkan
Misha balik. Lagipun hari nak hujan ni..” ujar Iskandar berterus terang.
“Eh.. tak apalah
encik.. Saya boleh naik bas saja.. Kalau tak ada bas nanti saya naik teksi..”
jawab Misha dengan jujur.
“Kan lebih baik kalau
saya hantar Misha pulang.. Lagipun Misha tinggal seorang saja tau kat sini.
Kalau ada apa-apa nanti siapa yang susah?” soal Iskandar tidak berputus asa.
Misha melihat
sekeliling. Betul juga cakap bosnya itu. Ada rasa seram pula. Bila masa pula
gadis yang menunggu bas dengannya tadi berlalu pergi.
“Okeylah.. Saya tumpang
kereta encik..” ujarnya perlahan. Dia terpaksa juga mengikut lelaki itu kerana
bimbang tentang keselamatan dirinya.
“Macam itulah..” jawab
Iskandar sambil tersenyum. Sepanjang perjalanan mereka berdua diam membisu.
Masing-masing tidak tahu apa yang ingin di bualkan.
Sampai di depan warung
Makcik Siti, Misha meminta Encik Iskandar berhentikan keretanya.
“Encik baliklah dulu.
Saya tumpang kereta encik sampai di sini saja..”
“Tak apalah. Dah
alang-alang saya lalu kat sini, baik saya hantar Misha balik sampai rumah.”
“Kalau macam tu, encik
tunggulah sekejap..”
“Okey..”
Misha berjalan menuju
ke warung Makcik Siti. Hujan pula mula turun renyai-renyai.
“Amboi.. Siapa tu
Misha??” soal Makcik Siti bila Misha berdiri di depannya.
“Bos Misha, Makcik..”
“Oh..baik betul
orangnya..” MAkcik Siti tersenyum. Macam kenal saja dia dengan lelaki itu.
“Okeylah Makcik terima
kasih. Misha balik dululah ya..” ujar Misha sebaik sahaja duit sudah di terima
dari tangan Makcik Siti.
Misha terus berlari
anak menuju ke kereta Encik Iskandar. Kemudian mereka beredar dari situ. Sampai
di rumah Misha, Iskandar memberhentikan keretanya.
“Inilah rumah Misha Encik..
Tak adalah besar macam rumah Encik..” gurau Misha lagi. Sebenarnya dia rasa
malu sangat!!
“Itu pun rumah juga
namanya. Asalkan ada tempat kita berteduh dari hujan dan panas..”
Iskandar keluar lalu membuka
pintu di sebelah tempat duduk Misha. Makin bertambah malulah Misha di buatnya
apabila gelagat mereka di lihat oleh ibu dan juga adiknya.
“Kenalkan ini ibu
Misha. Dan ini adik Misha namanya Ismalleh.” Mereka bersalaman.
“Jemputlah naik ke
atas..”
“Saya minta maaf
Makcik. Saya kena pergi dulu. Ada hal penting lagi selepas ini.. Lain kalilah
saya datang lagi..”
“Kalau macam tu tak
apalah.. Kami pun tak memaksa..”
“Terima kasih Encik Is sebab
hantar Misha balik. Hati-hati memandu..” pesan Misha kepada Encik Iskandar.
Mereka semua tersenyum.
“Bestnya ada abang ipar
yang kaya macam tukan Kak Misha..” ujar Malleh mengusik kakaknya.
..............................
Iskandar memandang ke
tempat duduk di sebelah. Tiba-tiba matanya menangkap sesuatu. ‘Buku apa tu?’
bisiknya dalam hati. Perlahan dia mengambil buku yang terselit di bahagian
tempat duduk Misha tadi. Diari!!
Pasti diari itu
kepunyaan Misha. Dia membukanya. Memang betul itu diari milik Misha. Pasti
gadis itu akan tercari-cari bila menyedari diarinya hilang. Akal mula nakal
membayangkan wajah Misha yang bersusah hati mencari diarinya itu.
Di bilik tidurnya,
selepas mandi, Iskandar duduk bersandar di atas katilnya. Tiba-tiba dia
teringat diari yang di bawanya tadi. Cepat dia bangun dari pembaringannya
menuju ke meja tempat dia meletakkan diarinya tadi. Kemudian dia duduk semula
bersandar di atas katilnya.
Satu persatu muka surat
di selak.
Tiba-tiba dia membaca.
14
Februari 2012
Aku
bergaduh dengan seorang lelaki gara-gara duit sepuluh sen. Bagi lelaki itu
apalah sangat nilai sepuluh sen itu. Tetapi bagi aku sepuluh sen itu melambang
setitik peluh aku ketika aku membuat kuih untuk di hantarkan ke warung Makcik
Siti. Mungkin lelaki itu ingat aku kedekut, tetapi aku kedekut pun bersebab.
Iskandar tersenyum
membaca perenggan itu.
15
Februari 2012
Rupa-rupanya
lelaki yang bergaduh dengan aku semalam itu adalah bos baru di syarikat tempat
aku bekerja.. arghh!! Malunya. Pasti dia mengecop aku perempuan kedekut. Tapi aku
peduli apa.. Janji aku menunaikan permintaan ayah yang mahu melihat Ismalleh
masuk ke menara gading.
Aku
sedar hidup kami susah. Dan aku akan berusaha mengumpul duit, supaya Ismalleh
dapat belajar di university dengan selesa kelak.
Iskandar membaca lagi
seterusnya yang di tulis dalam diari tersebut hingga ke muka surat terakhir.
Selepas itu Iskandar menutup buku diari tersebut. Kini barulah dia faham kenapa
gadis yang bernama Misha itu kedekut. Sebenarnya dia bukan begitu. Dia
tersenyum sendiri lagi.
.......................................
Keesokan harinya
Iskandar bangun awal. Pada mulanya dia mahu ke warung Makcik Siti. Dia mahu
membeli kuih untuk sarapan mereka sekeluarga.
Namun sesampai sahaja
di warung Makcik Siti dia tidak melihat ada kuih muih di jual seperti selalu.
“Makcik, hari ini tidak
ada kuih muih ke?” soal Iskandar kepada Makcik Siti.
“Tak adalah nak.. Pagi
tadi orang yang buat kuih itu telefon Makcik dia tak sihat..”
“Siapa yang buat kuih
tu? Kempunanlah saya nak merasa kuihnya hari ini..” gurau Iskandar. Makcik Siti
tersenyum.
“Misha.. Encik kenalkan
dengan dia?” soal Makcik Siti.
“Oh macam tu.. Selama
ini dialah yang buat kuih muih itu ke Makcik?”
“Dialah yang buat kuih
muih tu. Ramai pelanggan yang suka makannya. Tapi hari ini dia cakap dia tidak
sihat. Jadi tak ada kuih muih untuk hari ini.” Bersunguh-sungguh Makcik Siti
memberitahu kepada Iskandar.
“Okeylah Makcik. Terima
kasih..” ucap Iskandar lalu dia berlalu dari situ.
........................................
Ismalleh jadi marah.
Kenapalah Kak Mishanya kedekut sangat. Pantang dia emminta benda yang bernama
duit atau wang, pasti kakaknya akan marah-marah..
“Kak Misha selalu macam
tu, sebab itulah tak ada orang yang nak kahwin dengan Kak Misha!! Kedekut!!”
jerit Ismalleh.
“Malleh.. akak tak
kedekut! Tapi akak...” belum habis lagi kata-katanya sudah di sampuk oleh
Ismalleh.
“Cakap je yang akak
memang kedekut!! Selama ini mana Kak Misha pernah nak bagi duit lebih pada
Malleh. Tengoklah kawan-kawan Malleh semuanya ada telefon bimbit yang canggih,
Malleh apa ada! Cuma sebuah telefon bimbit buruk ni je!” ujar Malleh sambil
menghempaskan telefon bimbit yang ada dalam genggamannya.
Misha benar-benar rasa
marah dan juga sedih. Dia marah kerana di panggil kedekut! Dan sedih kerana adiknya
tidak pernah menghargai apa yang dia berikan selama ini. Rasa sia-sia sahaja
dia berkorban bekerja siang dan malam untuk mengumpul duit.
Pandangannya di
lemparkan pada tubuh Malleh yang berlalu pergi. Dia terasa ingin menangis. Dia
tahu ibunya ada berdiri di belakangnya. Dan kalau boleh dia tidak mahu ibunya
nampak kesedihannya.
“Bersabarlah Misha..
kalau dia tahu suatu hari nanti pasti dia akan menyesal kerana berkata begitu
pada Misha..” pujuk ibunya.
.........................................
Iskandar datang ke
rumah Misha. Namun dia terkejut apabila mendengar Ismalleh sedang bergaduh
dengan Misha ketika dia mahu memberi salam. Dia berdiri di tangga rumah itu.
bukannya niat mahu mendengar tetapi dia tidak boleh berpatah balik macam itu
sahaja. Bila dia melihat Malleh keluar dari rumah dia terus mengejar Ismalleh
dari belakang.
“Malleh..” panggilnya.
Ismalleh berpaling.
Kelihatan seorang lelaki sedang mengikutinya dari belakang.
“Encik Is.. Apa yang
Encik buat di sini?” soal Malleh kehairanan.
“Saya datang nak jumpa
kakak kamu.. Tapi secara tak sengaja saya terdengar kamu bertengkar dengan kakak
kamu.. Kenapa?”
“Mana Malleh tak sakit
hati bang.. Malleh nak minta duit nak beli handphone baru. Kak Misha marah
pulak!! Mestilah Malleh bengang..”
“Malleh tahu tak kenapa
Kak Misha buat macam tu dengan Malleh? Malleh pernah fikir tak apa perasaan Kak
Misha ketika Malleh marahkah dia?” soal Iskandar bertubi-tubi. Dia bukannya nak
menyibuk tentang hal keluarga Misha. Namun kebisuan Misha selama ini membuat
hatinya geram. Kerana mahu impian ayahnya tercapai, Misha sanggup membisu walau
pun selalu di marahi oleh adiknya.
“Kak Misha tu, dia
kedekut sangat. Kita minta duit sikit pun bukannya nak bagi.. Dia nak
marah-marah adalah..” jawab Malleh tanpa berselindung.
“Itulah silapnya kamu
Malleh.. pada mulanya abang pun ingat dia perempuan yang kedekut!! Gara-gara
duit sepuluh sen, Kak Misha kamu bergaduh dengan abang tau di warung Makcik
Siti.”
“Hanya kerana sepuluh
sen?” soal Ismalleh kehairanan.
Iskandar mengangguk.
“Sebenarnya dia ada
sebab bersikap demikian. Sehinggakan orang yang berada di sekelilingnya salah
faham dengan sikapnya. Kamu tau kenapa Kak Misha tolak pinangan orang?”
“Kenapa?” soal Malleh
seperti orang bodoh.
“Sebab pesanan arwah
abah kamu.. Sebelum dia meninggal, arwah abah kamu teringin melihat anak dia
masuk ke universiti. Apakan daya Kak Misha kamu tak berkesempatan. Malleh ingat
result SPM Kak Misha tak bagus?” Malleh menggeleng kepalanya.
“Keputusan SPM dia sangat
cemerlang. Tapi di sebabkan arwah ayah kamu sakit dan mereka tak mampu nak
menyara perbelanjaan dia, dia tak nak melanjutkan pelajarannya. Sebab itu dia
bekerja keras mengumpul duit supaya kamu dapat pergi ke menara gading!”
Malleh terduduk
mendengar kata-kata Iskandar. Sungguh dia rasa sangat menyesal kerana berburuk
sangka terhadap Kak Longnya selama ini.
“Encik Is, Malleh minta
maaf..”
“Bukan dengan abang,
Malleh minta maaf! Tapi dengan Kak Misha kamu tu..” nasihat Iskandar lagi. Dia
tahu pasti Ismalleh rasa bersalah setelah dia memberitahu hal yang sebenarnya.
“Tapi mesti dia sangat
marahkan Malleh sekarang. Sebab Malleh sudah kurang ajar dengan dia!” ujar
Ismalleh dengan nada kesalnya. Dia tidak tahu sampai begitu sekali pengorbanan
Kak Misha terhadapnya. Dan selama ini dia selalu menyakiti hati kakaknya itu.
.........................................
Ismalleh pulang ke
rumah. Kelihatan Kak Misha dan ibunya sedang duduk di ruang tamu. Mungkin
sedang menunggu kepulangannya.
“Malleh minta maaf
kak.. Selama ini Malleh salah sangka dengan akak..”
“Kenapa ni Malleh?
Kenapa tiba-tiba minta maaf pulak!” Soal ibunya. Mana dia tidak hairan. Tadi
dia baru melihat api kemarahan di wajah anak lelakinya itu. Dan sekarang dia
melihat wajah yang penuh dengan keinsafan.
“Malleh nak minta maaf
dengan Kak Misha. Malleh terlalu mengikut perasaan. Malleh tak tahu akak simpan
duit untuk masa depan Malleh..”
“Apa Malleh cakapkan
ni? Akak tak faham!!”
“Malleh benar-benar
minta maaf. Malleh tak tahu pengorbanan akak selama ini adalah untuk masa depan
Malleh.. Malleh minta maaf..” ujar Ismalleh lagi.
“Dah lama akak
maafkan.. Akak pun tak ambik hati dengan perangai Malleh..” ujar Misha lagi.
Dia berasa sayu.
“Tapi Malleh selalu
marah-marah dengan akak! Malleh dah banyak menyusahkan akak!”
“Kita lupakanlah..”
pujuk Misha lagi. Dia tidak mahu Malleh berterus terusan rasa bersalah terhadap
dirinya.
“Itulah lain kali
jangan nak cakap tanpa periksa.. Sebab itulah ibu diam je selama ini. Kak misha
kau tak bagi ibu beritahu hal yang sebenarnya. Walau pun ibu kekadang mrah
sangat dengan sikap Malleh tu..” ujar ibunya lagi.
Misha tersenyum sahaja
bila mendengar kata-kata ibunya.
“Kak Misha dengan encik
Is macam mana?” soal Ismalleh tiba-tiba. Dia teringat bagai mana wajah Encik
iskandar bercerita tentang soal hati dan perasaannya terhadap kak Mishanya.
“Macam mana apa?” soal
Misha tidak mengerti.
“Kak Misha tak tahu ke
yang Encik Is sukakan akak?” soal Ismalleh lagi. Misha tidak tahu sejak bila
pula bos mula menaruh hati padanya. Namun masa ini dia memang belum sedia untuk
menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya.
“Adik.. soal jodoh
ditangan tuhan.. Kalau akak memang ada jodoh dengan encik Is,adalah. Kalau tak
ada jodoh antara kami berdua, terserah.. Adik jangan risau!” pujuk Misha lagi.
Kalau boleh buat masa ini dia memang tidak mahu fikirkan soal jodoh. Apa yang
penting dia mahu menyelesaikan kemasukan Ismalleh ke universiti.
“Kalau macam tu,
sebelum Malleh masuk universiti, akak kahwin dulu dengan encik Is.. Kesian
encik Is.. Dia sangat cintakan Kak Misha..” ujar Ismalleh lagi..
“Kan kakak dah cakap,
kalau ada jodoh..”
“Kita kahwin!!!”
kedengaran suara Iskandar di belakang mereka. Misha dan Ismalleh sama-sama menoleh.